BAHAYA PENYAKIT TAKBUR
RASULULLAH SAW berjalan
melalui sekelompok sahabat yang sedang berkumpul. Baginda bertanya,
"Mengapa kamu berkumpul di sini?" Sahabat menjawab, "Ya
Rasulullah, ini ada orang gila sedang mengamuk. Sebab itu kami berkumpul
disini."
Rasulullah bersabda :
"Orang ini bukan gila. Ia
sedang dapat musibah. Tahukah kamu,siapakah orang gila yang sebenar
(al-majnun haqqal
majnun?)"
Para Sahabat menjawab,
"Tidak ya Rasulullah."
Baginda menjelaskan,
"Orang gila ialah orang yang berjalan dengan takbur, yang memandang orang
dengan pandangan yang merendahkan, yang membusungkan dada, berharap akan syurga
Tuhan sambil membuat maksiat, yang
kejahatannya membuat orang tidak aman dan kebaikkanya tidak pernah
diharapkan. Itulah orang gila yang sebenarnya. Adapun orang ini, dia hanya
sedang mendapat musibah saja."
AKAL YANG TIDAK BERFUNGSI.
Orang gila (majnun) berakar
kata 'jannat', ertinya menutupi. Dia masih mempunyai akal, tetapi akalnya sudah
tidak berfungsi atau tertutupi oleh kemahuannya yang tidak terkawal dan hawa
nafsunya yang sungguh aneh. Orang seperti
ini tidak dianggap 'gila' oleh Rasulullah, melainkan sedang ditimpa
penyakit (musibah). Justeru yang disebut 'majnun' oleh Nabi adalah orang
takbur, sombong, biadap, yang perbuatannya merugikan merugikan orang lain,
manakala kebaikannya tidak memberi manfaat sedikit pun.
Orang gila yang terkena
gangguan saraf hanyalah orang yang menderita 'mubtala' (musibah), orang yang
sedang sakit. Orang sakit perlu dikasihani, dibantu dan diubati. Majnun yang
sebenar dan sangat berbahaya ialah
'takbur', iaitu penyakit warisan IBLIS.
Rasullullah SAW bersabda kepada Abu Dzar: "Wahai Abu
Dzar, barangsiapa mati dalam keadaan hatinya ada sebesar debu sahaja dari sifat
takbur, ia tidak akan cium bau syurga, kecuali bila ia bertaubat sebelum
maut menjemputnya".
Rasullullah bertanya kepada
Abu Dzar : "Bagaimana perasaan hatimu?"
Abu Dzar: "Aku dapati
hatiku mengenal kebenaran dan tenteram didalamnya".
Rasulullah SAW: "Yang
demikian itu tidak termasuk takbur. Takbur itu meninggalkan kebenaran dan kamu
mengambil selain kebenaran. Kamu melihat orang lain dengan pandangan bahawa
kehormatannya tidak sama dengan
kehormatanmu, darahnya tidak sama dengan darahmu..."
KESALAHAN UTAMA.
Kesalahan yang utama dan paling
buruk menimpa akar umbi kebaikan adalah kesombongan. Ini adalah sifat syaitan
yang mencorakkan kejahatan dan pembangkangan kepada Allah. Tiada amalan soleh
yang boleh dilakukan dengan kesombongan.
Tercelanya takbur ini
dijelaskan oleh Rasulullah bahawa tiada akan masuk syurga orang yang ada di
dalam hatinya seberat biji sawa dari takbur (sombong). Dan tiada akan masuk
neraka orang yang ada didalam hatinya seberat biji sawi dari iman.
Daripada Abu Hurairah ra.
bahawasanya Rasulullah SAW bersabda bahawa orang-orang yang sombong, keras
kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat dalam bentuk semut kecil,
yang diinjak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka di sisi Allah Ta'ala.
Oleh itu Nabi sentiasa berdoa
supaya dijauhkan daripada sifat takbur dan sombong.
Malahan Rasulullah menyebutkan
bahawa penyakit gila yang sebenar adalah takbur. Sebab ia membinasakan semua
amalan yang dilakukan oleh orang yang menghidap penyakit takbur ini.
Seterusnya kita dapat meneliti
sendiri apakah sifat 'takbur' ada didalam diri kita. Bila gejala tidak
sihat ini memahat diri kita,
ianya cukup untuk mengheret kita kepada penyakit 'gila' yang sebenar,
MAJNUN HAQQAL MAJNUN.
INILAH HAKIKAT PENYAKIT HATI
YANG AMAT BERBAHAYA!!!!!!!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar